Sunday, 15 July 2012

Bagaimana untuk Khusyuk dalam Solat

Sedutan dari: Majalah Fardhu Ain Edisi 13 (ms.22-25)
Oleh: Muhammad Zakaria

Antara yang dipetik dari artikel ini:

1.                  Khusyuk berasal dari istilah bahasa Arab, kho-sya-‘a.
Dalam konteks solat bermaksud menumpukan sepenuh perhatian dan minat atau bersungguh-sungguh dengan sepenuh hati serta merendahkan diri.

2.                  Surah Al-Mukminun (1-2): “Telah berjayalah orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

3.                  Surah Al-Baqarah (238): “Peliharalah segala solatmu terutama solat pertengahan (Asar dan Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk.”

4.                  Surah Al-Ma’un (4-5): “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat iaitu orang yang lalai dalam solatnya.”

5.                  Sabda Rasulullah SAW: “Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperoleh hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya.”

6.                  Riwayat Al-Nasai. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam solat kecuali sekadar mana yang dia ingat.”

7.                  Sabda Rasulullah SAW: “Aku selalu mengingati mati dalam solat.”
                                   Apabila kamu solat anggaplah solat ini solat perpisahan.”
8.                  Sebuah hadis menceritakan bahawa Rasulullah SAW solat sunat malam hingga bengkak kaki. Ini mungkin disebabkan Baginda terlalu lama berdiri atau solat yang didirikannya hingga ribuan rakaat atau Baginda berdiri solat sepanjang malam.
Sayidatina Aisyah ra pernah menegur Baginda: “Bukankah Allah SWT telah menjaminmu masuk syurga, mengapa engkau mesti solat sepanjang malam?”
Jawab Baginda: “Tidak bolehkah aku bersyukur kepadaNya dengan solat malam kerana anugerah itu?”

9.                  Dari Sayidina Umar Al-Khattab: “Khusyuk itu bukan menundukkan kepala tetapi khusyuk itu dalam hati.”

10.              Tips untuk khusyuk dalam solat dikategorikan kepada 6 aspek seperti berikut:
(i)                 Aspek kerohanian
-          Ambil wuduk dengan sempurna dan berdoa selepas wuduk.
-          Solat sunat wuduk 2 rakaat.
-          Azan & iqamat (walaupun solat sendirian). Sekurangnya iqamat sahaja.
-          Baca taawuz.
-          Baca surah Al-Nas sebelum takbiratulihram untuk hindari dari gangguan syaitan.
-          Pakaian, peralatan, kenderaan, tempat tinggal dan harta kita datang dari sumber yang halal tanpa syubhah.



(ii)               Aspek minda
-          Berusaha untuk faham makna bacaan doa iftitah, al-Fatihah, surah lain yang dibaca, bacaan tasyahud, tahmid dan zikir yang dibaca ketika solat.
-          Dengar bacaan imam dalam solat Maghrib, Isyak dan Subuh bersunguh-sungguh. Cuba hayati maknanya.
-          Berusaha untuk fokus sepanjang masa dengan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhati solat yang kita tunaikan.
-          Sebelum solat, cuba bayangkan dalam minda seolah-olah kematian sangat hampir kepada kita. Gambarkan ini merupakan solat terakhir kita yang perlu ditunaikan sebaik mungkin.
-          Dirikan solat di awal waktu agar tidak tergopoh gapah ketika waktu solat hampir luput.

(iii)             Aspek hati
-          Membesarkan dan merasa kehebatan Allah SWT dalam solat.
-          Malu kepada Allah SWT atas kelemahan diri kita.
-          Takut kepada azab dan ancaman Allah SWT.
-          Berharap dengan yakin Allah SWT terima solat dan amalan kita.
-          Mengajak hati hadir dalam solat.
-          Kosongkan hati dari urusan dunia yang mengganggu solat.

(iv)             Aspek fizikal
-          Pilih tempat solat yang tenang dan sunyi.
-          Letak sutrah di tempat sujud supaya orang tak melintas di hadapan kita.
-          Tempat yang tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.
-          Pakai pakaina warna putih, hitam atau hijau.
-          Ditegah solat pakai pakaian yang ada gambar, tulisan, lukisan atau berwarna warni kerana akan buatkan orang lain hilang kekhusyukkan ketika berjemaah.
-          Guna sejadah yang tidak terlau banyak gambar kerana akan menyebabkan fikiran menerawang.

(v)               Aspek perbuatan
-          Solat berjemaah di masjid atau rumah. Kerana solat berjemaah lebih udah khusyuk dari solat bersendirian.
-          Luruskan saf solat sebelum takbiratulihram.
-          Rapatkan antara satu sama lain hingga bahu bertemu bahu dan tiada ruang antara dua jemaah.
-          Baca dengan baik.
-          Kurangkan pergerakan kaki, tangan, kepala dan badan.
-          Tumpu pandangan mata ke tempat sujud.
-          Rukun solat dipindahkan secara tertib.

(vi)             Aspek pemakanan
-          Jaga pemakanan dari sumber yang halal dan tak syubhah.
-          Tidak terlau kenyang atau terlalu lapar.
-          Jika makanan terhidang, makan dahulu jika waktu solat masih panjang.
-          Bersugi sebelum solat.

11.              Menurut Imam al-Ghazali, orang yang tidak khusyuk solat dikira sia-sia kerana tujuan solat selain dari mengingati Allah SWT, juga berfungsi sebagai pencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat merupakan munajat seorang hamba terhadap Allah SWT.

12.              Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah: 45-46: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk. Iaitu orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada Nya.”

13.       Moga perkongsian ini akan dapat membantu kita meningkatkan kekhusyukkan dalam solat.

No comments:

Post a Comment